Blogger Templates

Sunday 9 October 2011

sebab-sebab kelunturan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat

Kini, amalan semangat kejiranan semakin jarang-jarang dilakukan, khususnya di
kawasan bandar dan menular ke luar bandar. Masyarakat semakin hari semakin
sibuk dengan urusan harian masing-masing. Malahan, mereka tidak mempunyai
inisiatif untuk bermesra dengan jiran menyebabkan semangat kejiranan semakin
luntur.
Sesungguhnya punca berlaku kelunturan semangat kejiranan ini ialah
perbezaan kaum dari segi budaya, agama dan cara hidup. Masyarakat Malaysia
terdiri daripada komposisi kaum yang berbeza, seperti Melayu, Cina dan India.
Perbezaan ini bukan sahaja menghalang proses integrasi kaum, malah
menghalang kewujudan semangat kejiranan yang kental. Selain itu, sikap tidak
suka mencampuri urusan orang lain telah menghalang bercambahnya semangat
kejiranan. Hal ini amat dikesali dan mula menghambat semangat kejiranan dalam
kalangan masyarakat.
Faktor masa juga penyumbang kelunturan semangat kejiranan. Kebanyakan
masyarakat tidak mempunyai masa untuk bersosial. Umumnya, masyarakat
bekerja dari awal pagi hingga lewat petang. Oleh itu, masa untuk berkomunikasi
dengan jiran tetangga amat terhad. Tambahan pula, hal yang menjadi
penghalang proses komunikasi yang baik antara jiran ialah perasaan
syak wasangka yang tidak berasas. Hal demikian dapat dijelaskan melalui
contoh dua buah keluarga dengan taraf sosial ekonomi berlainan yang tinggal
bersebelahan. Akibatnya, hubungan antara dua jiran terdekat ini menjadi
renggang. Di samping itu, perbezaan dari segi bahasa sedikit sebanyak menghalang pembinaan hubungan mesra antara jiran. Contohnya, sebuah
keluarga berbangsa India yang kurang fasih berbahasa Melayu sukar untuk
berinteraksi dengan jirannya yang berbangsa Melayu telah menjadi batu penghalang
kepada interaksi sosial antara dua buah keluarga yang berlainan keturunan ini.
Pada masa yang sama, keturunan dan latar belakang berlainan menyumbang
semangat kejiranan yang semakin pudar.
Semangat kejiranan amat penting untuk menjamin bukan sahaja perpaduan,
malah keselamatan negara. Masyarakat seharusnya berganding bahu untuk
membina perasaan berbaik-baik sesama jiran tetangga. Bak kata pepatah, "jiran
sepakat membawa berkat".

adlin

1 comment:

  1. assalamualaikum...mohon copy untuk pnp saya..terima kasih

    ReplyDelete